Wednesday, 2 November 2011

Kenapa pelajar perlu mahir menulis


Hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan pelajar menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Keadaan ini menyebabkan seseorang pelajar yang tidak memiliki kemahiran menulis yang baik sering menghadapi masalah untuk menjawab soalan bukan kerana diri mereka tidak bijak tetapi mereka tidak memiliki kemahiran untuk meluahkan kebijaksanaan mereka itu dalam bentuk tulisan.

Lantaran itu, pelajar yang mampu menjawab soalan dengan baik dalam peperiksaan ialah pelajar yang memiliki kemahiran menulis yang tinggi kerana selain mampu memberikan data-data yang tepat, pelajar sebegini juga berupaya menyusun jawapannya dalam bentuk yang begitu mudah, teratur dan meyakinkan pemeriksa bahawa pelajar terbabit sememangnya bijak dalam sesuatu subjek pelajaran tersebut.

Jadi, tanpa pelajar semua sedari mahu tidak mahu, minat atau tiada minat, penulisan merupakan satu latihan yang harus dibuat oleh pelajar setiap hari. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa latihan menulislah yang lebih penting daripada semua latihan yang ada dalam hidup pelajar terutama apabila pelajar bakal memasuki alam kerjaya. Semua laporan kerja terutama pembentangan projek, laporan kewangan dan rancangan pembangunan produk perlu dibentangkan juga dalam bentuk penulisan. Oleh itu, mahirkan diri pelajar dengan menulis dan menulis.

No comments:

Post a Comment