Apa khabar semua. Apa kata kali ini kita belajar cara mudah menulis pantun seperti yang kebiasaan saya lakukan. Saya akan ambil contoh untuk menulis pantun empat kerat. Maksudnya empat baris.
Dalam satu rangkap pantun empat kerat, semestinya mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksudnya. Keduanya tidak perlu mempunyai kaitan cerita. Terus sahaja kepada contoh, saya akan cuba untuk menulis pantun mengenai hari raya. Cara mudah ialah dengan menulis maksudnya dahulu iaitu baris ketiga dan keempat.
tangan dihulur salam diberi
sama bermaafan di hari raya
Ini adalah pokok cerita yang hendak disampaikan kepada pembaca. Setelah dipastikan dua baris maksud ini sempurna, baharulah saya akan cuba memilih kata-kata sebagai pembayang iaitu baris pertama dan kedua. Saya sentiasa perhatikan huruf/bunyi terakhir bagi kedua-dua baris, dalam contoh di atas huruf i dan a. Jadi, perkataan yang akan dipilih untuk pembayang mesti mempunyai huruf i dan a di hujungnya.
kanda ke dapur mengambil ubi
mahu dimakan bersama dinda
Pantun menjadi lengkap apabila sudah mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksud.
kanda ke dapur mengambil ubi,
mahu dimakan bersama dinda;
tangan dihulur salam diberi,
sama bermaafan di hari raya.
Mudah kan? Sesekali cubalah menulis pantun. Anda akan rasa keseronokannya. Pantun dua, empat, enam, lapan atau dua belas kerat semua sama strukturnya. Separuh adalah pembayang dan separuh lagi merupakan maksudnya. Ingat, cara mudah dan cepat ialah dengan membina maksudnya dahulu. Cubalah…
No comments:
Post a Comment